[PARLIMEN] BEKAS Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata krisis politik di negeri itu sudah selesai dan kesepakatan dicapai antara parti Perikatan Nasional (PN).
Beliau yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, penyelesaian disepakati oleh PAS, Bersatu dan Umno.
Ahmad Faizal, yang juga Ahli Parlimen Tambun, berkata kemelut politik itu diselesaikan dalam pertemuan enam mata melibatkan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen hari ini.
“Setelah dirujuk oleh YB Bagan Datuk (Zahid) dan juga YB Marang (Hadi) saya mendapat tahu masalah di Perak selesai,” katanya di Dewan Rakyat hari ini sambil disambut sorakan di blok kerajaan.
Ahmad Faizal menarik perhatian Dewan kepada krisis di Perak sebelum membahas isu geran one-off bernilai RM8.6 juta kepada Penggerak Komuniti Tempatan dalam peruntukan Belanjawan 2021 bagi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Difahamkan pertemuan tiga ketua parti itu membincangkan situasi politik di Perak termasuk pelantikan menteri besar baharu dari Umno. – Malaysiapost

