[PARLIMEN] SERAMAI 829 daripada 60,583 banduan di seluruh negara yang telah disaring dikesan positif Covid-19 antara 29 Ogos sehingga semalam.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said berkata dari 1 Mei hingga semalam pula seramai 1,355 penghuni di Depot Tahanan Jabatan Imigresen Malaysia dikesan positif Covid-19.
Daripada jumlah itu, katanya, Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil mencatat kes positif tertinggi iaitu 650 orang, diikuti Depot Tahanan Imigresen Langkap 481, Depot Tahanan Imigresen Semenyih 127 dan Depot Tahanan KLIA 77 orang.
“Baki 20 orang direkodkan di Depot Tahanan Belantik, Putrajaya, Machang, Machap Umboo, Lenggeng dan Juru,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) mengenai bilangan pesakit Covid-19 dari penjara serta depot tahanan imigresen.
Sementara itu, Ismail berkata KDN sentiasa memastikan agensi di bawah kementerian itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pemantauan saringan di penjara seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Katanya, terdapat dua perkara menjadi keutamaan bagi banduan iaitu ketika proses penerimaan dan ketika mengeluarkan mereka sama ada bagi mendapatkan rawatan kesihatan atau ke mahkamah yang akan melalui proses selama 14 hari sebelum disatukan bersama banduan lain.
“Contoh di penjara, lima hari kita asingkan di bilik tahanan sementara untuk buat saringan ujian swab dan kalau positif kita akan hantar ke hospital.
“Kalau negatif akan dihantar lagi ke satu bilik tahanan selama sembilan hari. Kalau betul-betul dalam tempoh 14 hari ini negatif baru kita asingkan kepada penjara besar bersama banduan lain.
“Ini untuk kita pastikan pegawai dan anggota penjara mesti mematuhi syarat-syarat ini dan tentang penjarakan fizikal mesti pastikan terjamin,” katanya. – Malaysiapost

