Kemelut Perak hanya mainan politik Umno

0
2

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Bedamar menjadi individu kedua dalam DAP yang menyuarakan bantahan terhadap kerjasama dengan Umno dalam usaha membentuk kerajaan negeri Perak.

Terence Naidu berkata, DAP sebagai parti berprinsip tidak sepatutnya berganjak daripada pendirian untuk tidak bekerjasama dengan parti yang terpalit tuduhan rasuah.

Menurut beliau, kemelut politik di Perak yang menyaksikan penyingkiran Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar, hanyalah untuk kepentingan Umno.

“Kita tidak harus lupa, bahawa pencaturan terkini adalah hanya untuk menukar Menteri Besar untuk manfaat mereka sendiri.

“Sekiranya mereka hanya ingin Menteri Besar dari Umno, maka Perikatan Nasional (PN) akan kekal menerajui kerajaan negeri. Kalau tidak, mengapa turunkan MB dari Bersatu?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau berpendapat, Pakatan Harapan (PH) tidak seharusnya terlibat dalam apa yang disifatkannya sebagai “permainan politik pemimpin atasan Umno” jika tidak mahu dihukum pengundi pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Sebelum ini, Adun Pokok Assam, Leow Thye Yih membantah kerjasama DAP dengan Umno, malah mengajak Adun lain mengambil pendirian sama.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming semalam berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan Umno bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil demi kepentingan rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here