PRN Sabah: Warisan sokong parti baharu Tun M

0
4

[PRN Sabah] Parti Warisan Sabah (Warisan) menyatakan sokongan terhadap parti baharu yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata sokongan itu sejajar kesediaan Warisan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai dasar dan perjuangan sama dengan parti itu.

“Kita mengalu-alukan kerjasama dengan mana-mana pihak, sebelum ini pun kita bersama Tun tiada masalah.Takkan dulu ada kerjasama kini tolak pula. Bila ada jawatan sokong, bila tiada jawatan tidak sokong, saya ingat nilai itu tidak baik.

“Asalkan perjuangan politik selaras dengan kita seperti perjuangan hak, dasar selari dengan kita, kita akan sokong… perkara ini kita akan lihat dan teliti.

“Kita juga ada kerjasama dengan pihak lain walaupun tiada ikatan contohnya dengan DAP, jadi takkan pula dengan Tun tidak boleh,” katanya selepas menyerahkan lot tanah mangsa kebakaran dan geran tanah kepada rakyat di Tawau, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman parti baharu oleh Dr Mahathir, semalam.

Semalam, Dr Mahathir menjelaskan parti baharu yang belum ada nama itu tidak terikat atau menyokong Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut menyatakan parti baharu itu tidak mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, tetapi menyokong Warisan dalam pilihan raya itu.

Sementara itu, Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan, berkata pihaknya tidak menekankan penggunaan satu logo untuk mewakili gabungan Warisan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) dan PH pada PRN kali ini.

“Saya tidak menekankan kepada mana-mana pihak logo yang akan diguna pakai kerana yang penting bukan berdasarkan logo tetapi penilaian rakyat.

“Lihat mana yang sesuai di hati mereka, tapi kalau ada logo sama Alhamdulillah,” katanya ditanya sama ada bercadang menggunakan logo sama pada PRN itu.

PN sebelum ini mencadangkan agar parti yang bekerjasama dengan gabungan itu pada PRN Sabah menggunakan satu logo bagi mewakili semua parti.

Dalam hal lain, Mohd Shafie menafikan pemberian lot tanah dan geran kepada penduduk yang dilaksanakan kerajaan negeri mempunyai kepentingan politik.

Sebaliknya, beliau berkata rancangan itu sudah lama dilaksanakan untuk kepentingan rakyat yang belum memiliki geran tanah di Sabah.