20 individu pulang ke Malaysia sejak 24 Julai positif Covid-19

0
2

[Covid-19] Seramai 20 individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk negara sejak 24 Julai lalu hingga semalam disahkan positif Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesemua mereka telah dibawa ke hospital untuk rawatan selanjutnya.

Beliau berkata mereka adalah antara 7,364 individu yang pulang ke tanah air sepanjang tempoh berkenaan.

Mereka yang lain kini jalani kuarantin wajib di 30 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah.

Sebelum ini kerajaan membuat keputusan tiada lagi kuarantin di rumah bagi rakyat Malaysia dan warga asing yang tiba di negara ini mulai 24 Julai lalu.

Sebaliknya, individu-individu terbabit akan ditempatkan di stesen-stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Task Force Operasi Pematuhan telah membuat 57,066 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguat kuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“PDRM telah menahan 180 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.

“Daripada jumlah itu 16 direman manakala 164 individu dikompaun kerana terlibat dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial,” katanya.