Krisis air: 50 peratus kawasan kembali pulih

0
2

SEBANYAK 50 peratus kawasan di tujuh wilayah di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat yang mengalami tekanan air rendah dan bekalan air tidak stabil sebelum ini sudah kembali pulih, petang tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, sehingga jam 6 petang tadi, bekalan air di 430 kawasan sudah kembali stabil.

Menurutnya, usaha menstabilkan sistem bekalan air di baki 431 kawasan lagi yang masih terjejas sedang dipergiat.

“Setakat ini, Air Selangor turut menyediakan bekalan air alternatif di Pusat Khidmat Setempat (PKS) termasuk pili-pili awam bermula jam 12 tengah hari Selasa,” katanya, hari ini.

Terdahulu, sebanyak 861 kawasan di wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kuala Langat mengalami masalah bekalan air.

Ini berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3, dan Rantau Panjang dalam tempoh lima jam disebabkan pencemaran air mentah di Sungai Selangor pagi tadi.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan petang tadi berkata, masalah berkenaan disebabkan pencemaran air mentah di Sungai Selangor dipercayai berpunca daripada kolam akuakultur ikan keli. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here