MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, beliau telah menjangka semakan semula penarafan negara oleh Fitch akan dijadikan modal politik untuk menyerang kerajaan.
Ia selepas penurunan satu anak tangga daripada A- kepada BBB+ yang telah diumumkan pada 4 Disember lalu.
Tengku Zafrul berkata amat mengecewakan apabila pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menandatangani kenyataan media berkaitan isu tersebut, adalah mereka yang selama ini berkata sebaliknya.
Beliau menjelaskan, pada 24 Ogos lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyatakan di Dewan Rakyat bahawa penarafan bukan isu utama yang patut diberatkan kerajaan dan “soal defisit tidak menjadi persoalan kerana tumpuan sekarang adalah untuk menjana pertumbuhan”.
Pada bulan sama, katanya, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat menyeru kerajaan untuk berbelanja lebih dalam senario wabak Covid-19 ini walaupun “hutang akan naik, fiscal deficit akan naik tetapi ini amat diperlukan”.
“Dengan memegang semangat keterbukaan, saya ingin bertanya kepada mereka: Apakah sebenarnya yang PH mahukan daripada isu penarafan ini?
“Sukar untuk kita memahami jika semalam mereka mendesak kerajaan jangan terlalu hiraukan hutang dan rating; tetapi hari ini pula menyelar kerana kejatuhan rating tersebut.
“Saya dan rakyat mempersoalkan pendirian dan perkataan bercanggah ini. Yang mana satu lebih penting wahai YB – penarafan dan rating atau perbelanjaan untuk rakyat?,” soalnya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Tengku Zafrul berkata Ahli-Ahli parlimen PH sendiri telah menyatakan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan perlu meningkatkan perbelanjaan kerana peruntukan memerangi Covid-19 tidak mencukupi.
Oleh itu, berdasarkan pendirian itu, beliau berharap YB-YB tersebut akan konsisten dalam menyokong rang undang-undang yang diusulkan kerajaan untuk menambah peruntukan Kumpulan Wang Covid-19 sebanyak RM20 bilion dalam sidang Parlimen yang sedang berlangsung.
“Saya juga terpanggil untuk menjawab tohmahan bahawa kerajaan tidak bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam usaha memulihkan ekonomi negara.
“Tetapi, bukankah penambahbaikan Belanjawan 2021 yang saya umumkan tempoh hari mengambil kira cadangan-cadangan penambahbaikan dari pelbagai pihak, termasuk dari pembangkang?,” katanya.
Beliau menambah, ada satu lagi faktor besar dinyatakan Fitch beberapa kali dalam laporan mereka sebagai menyumbang kepada penurunan penarafan iaitu: ketidaktentuan situasi politik negara.
Namun, pada masa sama, katanya, Fitch dalam kenyataan telah mengiktiraf pelbagai usaha kerajaan.
“Pertama, unjuran pengurangan defisit fiskal daripada 6% kepada 5.4% untuk 2021 dan seterusnya kepada 4.5% sehingga 2023 dikatakan sasaran yang boleh dicapai.
“Kedua, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi antara 6.5% ke 7.5% bagi 2021. PH sering mengatakan unjuran ini terlalu optimistik. Namun, Fitch sendiri mengunjurkan pertumbuhan pada kadar 6.7% sejajar dengan unjuran kita sendiri.
“Institusi lain seperti IMF pula mengunjurkan pertumbuhan sehingga 7.8%, lebih tinggi daripada unjuran kerajaan. Ini secara amnya menunjukkan keyakinan kepada kebolehan ekonomi Malaysia untuk melonjak kembali,” katanya.
Perkara ketiga, kata Tengku Zafrul, walaupun penarafan diturunkan, tinjauan atau outlook telah bertukar daripada ‘negatif’ kepada ‘stabil’.
Namun perlu ditekankan, kesemua ini bergantung kepada beberapa faktor, termasuk penemuan vaksin, pematuhan kepada SOP dan kejayaan berterusan dalam memerangi penularan Covid-19. Kestabilan politik juga penyumbang penting kepada situasi ekonomi ini.
“Selain itu, saya tidak bersetuju dengan tohmahan bahawa usaha-usaha Kementerian Kewangan tidak mendatangkan manfaat,” katanya.
Seterusnya, beliau berkata, jika mahu berpolitik, beliau boleh saja saya ungkitkan beberapa perkara yang ditulis Fitch dalam laporan mereka, iaitu yang sebenarnya berkaitan dengan pihak lain dan bukan kerajaan hari ini namun merasakan rakyat sudah muak dengan politik.
Semalam, Majlis Presiden PH menerusi kenyataan yang ditandatangani Anwar, Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu mendesak kerajaan menyegera dan mengutamakan usul undi tidak percaya yang telah dibawa Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat.
Menurut kenyataan itu, penurunan penarafan oleh Fitch adalah satu tamparan hebat buat kerajaan khususnya Menteri Kewangan.
“Ia menampakkan kegagalan perancangan dasar serta tatakelola kerajaan, lanjutan dari ketidaktentuan politik yang berlarutan sejak perubahan kerajaan pada Mac lalu.
“Kesan penurunan penarafan ini terhadap ekonomi negara masih belum dapat ditentukan sepenuhnya, namun apa yang jelas adalah langkah-langkah yang diusahakan Menteri Kewangan selama ini telah gagal memberi keyakinan sehingga berlakunya penurunan penarafan yang cukup serius ini,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

