Agong, Permaisuri ucap takziah kematian dua petugas PKD Pekan

0
4

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dua petugas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan yang maut dalam kemalangan jalan raya, semalam.

Menerusi kenyataan di akaun Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih di atas pemergian jururawat, Julayha Kudus serta pemandu Mohd Zuhairi Abdullah.

Baginda berdua berharap agar seluruh keluarga kedua-dua Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarhamah Julayha dan Allahyarham Mohd Zuhairi, kepada masyarakat dan negara.

“Seri Paduka Baginda berdua turut menyifatkan pemergian mereka berdua sebagai kehilangan besar kepada Pejabat Kesihatan Daerah Pekan dan Kementerian Kesihatan,” menurut kenyataan itu.

Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar roh Allahyarhamah Julayha dan Allahyarham Mohd Zuhairi dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

Dalam kejadian membabitkan tiga kenderaan kira-kira jam 10.30 pagi di Kilometer 32 Jalan Kuantan-Nenasi-Rompin semala, kedua-dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala lima mangsa lain selamat dan mengalami kecederaan.

Kedua-dua mangsa dalam perjalanan menghantar Pasukan Bergerak Orang Asli, PKD Pekan ke perkampungan Orang Asli untuk melakukan lawatan pemeriksaan kesihatan berkala. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here