Rayer desak usul undi tidak percaya PM dilaksana

0
3

[PARLIMEN] Dewan Rakyat didesak untuk memberi laluan kepada usul undi tidak percaya dilakukan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil mengaitkan peristiwa usul undi percaya yang berlaku di Sidang DUN Perak minggu lalu, RSN Rayer (PH-Jelutong) telah membangkitkan perkara itu meminta agar Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun membenarkannya dilakukan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Azhar menepis cadangan itu yang menegaskan dirinya tidak terikat dengan sebarang keputusan yang dibuat pihak lain termasuk Speaker di Sidang DUN Perak.

“Pertamanya saya tidak tahu bagaimana usul percaya (kepada menteri besar) di DUN Perak ditangani oleh speaker. Saya tidak tahu peraturan mesyuarat mana dan di bawah kuasa apa ia dinaikkan ke nombor satu. Saya tidak tahu.

“Kedua, saya tidak terikat dengan apa-apa tindakan speaker lain lebih-lebih lagi speaker DUN kerana saya kurang pasti bagaimana mereka melakukan perkara itu dan saya kurang pasti mengenai peraturan mesyuarat digunakan di setiap DUN.

“Ketiga, keputusan saya selama ini yang tidak menaikkan notis usul yang dicadangkan itu di Dewan Rakyat ini, saya bukan buat sesuka hati,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya lagi, beliau tidak mempunyai kuasa menentukan giliran sesuatu usul kerana ia dalam bidang kuasa menteri yang bertanggungjawab dan sebagai speaker Dewan Rakyat beliau terikat dengan peraturan yang juga menjadi konvensyen.

Terdahulu, Rayer juga mempertikaikan usul undi percaya yang telah dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan keabsahan Perdana Menteri masih belum mendapat perhatian sewajarnya daripada Azhar. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here