BAPA kepada pemain kebangsaan, Syafiq Ahmad meminta semua pihak khususnya media memberi ruang dan masa kepada anaknya itu berdepan dugaan berat yang sedang dihadapinya.
Ahmad Ibrahim, 56, berkata anaknya itu belum bersedia berkongsi tragedi hitam yang menimpanya dan keluarga selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh raya-Utara Selatan di Sungai Bakap, Nibong Tebal, awal pagi kelmarin.
“Ramai yang menghubungi saya termasuk media untuk bercakap dengan Syafiq, tetapi saya minta maaf kerana saya tidak boleh benarkan kerana masanya belum sesuai.
“Keutamaan Syafiq ketika ini adalah memberi sepenuh tumpuan kepada isterinya supaya segera sembuh dan mengembalikan semula semangatnya yang terkesan dengan kejadian itu.
“Jadi, saya memohon kepada semua sama-samalah kita berdoa supaya Syafiq terus kuat dan tabah dengan ujian ini ,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Sementara itu, Ahmad berkata, anak sulungnya daripada empat beradik itu kelihatan semakin tenang dan positif ketika ini selain menerima takdir itu dengan reda.
“Dari luarannya, Syafiq memang nampak semakin tenang, tetapi naluri saya sebagai seorang bapa dapat merasakan yang dia sedang berusaha mengawal perasaan dan tidak mahu menunjukkan kesedihan.
“Apatah lagi, dia perlu menguatkan hati untuk memberi semangat kepada isterinya yang pastinya lebih terkesan dengan kejadian itu kerana kehilangan anak yang baru dilahirkan dan ibunya,” katanya.
Ahmad berkata, Syafiq hanya mahu memberi tumpuan kepada isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25, yang masih dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini serta anak perempuannya Aaira Nur Saffiya, 2, yang telah dibenarkan keluar dari hospital semalam. -Malaysiapost

