KEMELUT politik di Perak dijangka berakhir hari ini dan hanya menunggu Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengumumkan Menteri Besar yang baharu.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno telah mempersembah surat memohon perkenan Sultan Perak mempertimbangkan calon Menteri Besar.
“Pengumuman untuk nama Menteri Besar Perak akan dibuat oleh Tuanku sendiri dan sebarang kenyataan selepas ini akan dikeluarkan oleh pihak istana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di luar Istana Kinta Ipoh selepas mengadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Saarani Mohamad pagi tadi.
Ahmad Zahid bagaimanapun enggan memaklumkan berapa serta siapa dalam senarai nama calon Menteri Besar yang diserah kepada Sultan Perak.
“Saya menjunjung titah Tuanku supaya hak untuk mencalonkan itu (Menteri Besar) adalah hak umno dan Barisan Nasional, tetapi hak untuk mengumumkan calon itu hak mutlak Tuanku dan Istana akan memaklumkannya,” katanya.
Beliau juga memaklumkan Umno amat yakin calon Menteri Besar tersebut telah mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang lebih daripada mencukupi.
Ditanya sama ada sokongan itu turut hadir daripada Bersatu dan PAS, beliau berkata: “Seboleh mungkin kita pertahankan kesepakatan Perikatan Nasional, ertinya kerjsama pembentukan kerajaan ini adalah antara Umno, Bersatu dan PAS,” katanya. – Malaysiapost

