Muhammad Mustakim Ramli
KEPUTUSAN Bersatu berkaitan penubuhan kerajaan Perak yang baharu mengambil kira ketetapan bersama parti dalam Perikatan Nasional (PN), terutama PAS.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu sebulat suara bersetuju untuk memperkukuh kerjasama antara Bersatu dan PAS.
Katanya, usaha itu bagi mengekalkan kestabilan politik di peringkat nasional dan negeri.
“Dalam mesyuarat itu, MPT sekali lagi menzahirkan rasa kesal terhadap usul keyakinan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terhadap Menteri Besar Perak yang diusulkan Umno tetapi tidak disokong oleh Umno dan Pakatan Harapan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Hamzah berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut membincangkan hala tuju dan pendirian Bersatu berhubung perkembangan politik semasa. – Malaysiapost

