Isu jual tanah DBKL: Pengerusi DAP mohon maaf pada Annuar

0
2

Fitri Nizam

PENGERUSI DAP, Tan Kok Wai menyerahkan surat pengakuan permohonan maaf dan menarik balik kenyataannya berhubung penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Perkara itu disahkan Annuar menerusi satu ciapan di Twitter hari ini.

“Saya menerima kunjungan mengejut Pengerusi DAP Kebangsaan, Tan Kok Wai di pejabat sebentar tadi.

“Beliau menyerahkan surat pengakuan memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnah terhadap saya (yang dibuat) 18 November lepas,” katanya.

Justeru, Annuar berterima kasih terhadap tindakan Ahli Parlimen Cheras itu.

“Saya akan rujuk peguam saya,” katanya lagi.

Memetik laporan FMT, Kok Wai dilaporkan mengesahkan permohonan maaf itu sambil berkata komen yang diberikannya itu merupakan fakta yang tidak benar.

Sebelum ini, peguam Annuar menyerahkan notis menuntut Kok Wai menarik balik dan memohon maaf atas kenyataan yang mengaitkannya dengan penjualan 42 plot tanah DBKL.

Annuar menafikan tuduhan berkenaan, mengatakan beliau tidak pernah terima apa-apa permohonan daripada DBKL.

DBKL juga menyangkal dakwaan itu, mengatakan 42 plot tanah berkenaan milik persendirian yang memohon proses perubahan kepada zon guna tanah, kepadatan penduduk, dan nisbah plot terhadap Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here