Perak mulakan politik ‘norma baharu’ – Puad

0
3

Nurul Huda Abhar

ADAKAH situasi yang berlaku dalam kerajaan negeri Perak kini adalah pembukaan kepada politik ‘norma baharu’ di negara ini, soal Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menurut beliau, memberi sokongan atau tidak sudah tidak menjadi isu kerana setiap kerjasama politik di Perak tidak lagi berasaskan gabungan politik.

Mohd Puad berkata, sokongan PKR dan DAP kepada Umno dalam undi usul tidak percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menggambarkan ianya tidak janggal jika dalam konteks politik norma baharu.

“Walaupun Umno ada pendirian, iaitu ‘No PKR-No DAP’ , usul tersebut tetap disokong. Maksudnya pendirian politik bukan mudah menghalang dinamika politik norma baru.

“Justeru, Umno tidak boleh apologatik? Takut dituduh mabuk kuasa, cium mulut dengan musuh dan gila jawatan. Usul Umno itu wajar kerana hanya mahu tukar MB yang gagal.

“Perak telah mempelopori politik norma baru. Apakah itu signal kepada Muhyiddin? Tidak mustahil ia berlaku di Pusat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau menyatakan banyak kejutan sejak Barisan Nasional hilang kuasa.

Katanya, rakyat mahu melihat siapa lebih bijak dan pihak mana yang pandai mengurus ekonomi, perkauman, janji dan kejujuran demi kelangsungan hidup rakyat.

Menurutnya, kini Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan majoriti lemah kerana Ia tidak dapat mentadbir dengan berkesan.

“Ia juga boleh tumbang. Apakah Umno mesti kekal terpalit dengan kemelut ini?

“Sebab itu PAS pragmatik. Ia boleh berkawan dengan DAP dan kemudiannya meninggalkan DAP. PAS menyertai PN tetapi PAS juga mahu MN didaftarkan,” ujarnya lagi.

“PAS tidak peduli dituduh geli dengan jawatan. Mereka juga mahu dominan dalam PN. Bersatu pun sama. Mereka kuasai Sabah tapi hilang kuasa di Johor, Kedah dan kini di Perak.

“Mana ada kerajaan yang berkuasa kalah teruk di Pilihan Raya Kecil seperti di Tanjung Piai. Itu menakutkan Bersatu. Sebab itu Bersatu tidak boleh balas dendam kerana “Perak Move”.

Beliau berkata, semua ahli politik mesti keluar dari kepompong lama dan memulakan politik norma baru.

Katanya, tiada musuh dan kawan politik yang kekal selagi kerajaan majoriti dua per tiga tidak wujud. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here