Nurul Huda Abhar
ANAK-anak mana yang tidak terpikat dengan bento yang dihasilkan sendiri ibu tersayang untuk dibawa sebagai bekalan ke sekolah.
Bento yang dihasilkan daripada makanan berkhasiat, dan divariasikan mengikut bentuk kartun-kartun popular dan haiwan yang comel bagi menarik minat anak-anak untuk lebih berselera untuk makan.

Berkongsi pengalaman bersama Malaysiapost, ibu muda dari Kelantan, Puteri Rabiatun Adawiyah, 33, berkata minatnya untuk menghasilkan bento bermula awal Januari lalu ketika anak perempuan mula memasuki sekolah darjah satu.
”Permulaan buat awal tahun ini, asalnya sepupu suruh belajar buat bento. Saya tanya apa tu bento? Dia suruh saya ‘Google’ belajar. Dia cakap bekal macam orang Jepun buat, dari situ saya semangat nak cuba.
“Saya ambil rujukan dari Instagram (IG) bento, kelab bento. Selain itu ada juga saya Google dan sebagainya,” katanya.
Ibu kepada Puteri Zulfa Zayyana, 7, murid Sekolah Kebangsaan Islah, Kelantan juga memberitahu anaknya begitu teruja apabila mengetahui dibekalkan bento ke sekolah.
Dalam berseloroh, beliau juga berkata rakan-rakan serta guru sekolah anaknya turut teruja untuk mengetahui bento apa yang dibawa Puteri Zulfa Zayyana ke sekolah.

Mengakui kekok pada awalnya, namun lama kelamaan cara penyediaannya bertambah baik dan menjadi lebih bersemangat untuk memahirkan lagi minatnya itu.
“Untuk sediakan bento, dari segi menu apa nak buat, bentuk, bahan-bahan seperti sayur kita basuh awal. Bekas pun dah tahu nak guna yang mana sebab esok pagi senang. Kalau semua itu kita sediakan awal, bangun jam 5.30 pagi sempat untuk masak dan bentukkan.

“Bahagian yang sukar bagi saya nak gunting ‘seaweed’, untuk bentukkan dia. Sebab bila salah gunting mesti tak jadi maka kena ulang buat semula kerana saya belum mahir.
“Lucu juga bila bento dah cantik tapi bila masuk dalam bekas tak muat. Terpaksa salin bekas lain sedangkan masa terhad. Ada juga mulanya fikir bentuk lain tapi terbuat bentuk lain. Itu jadi kelam kabut nak siapkan,” ujarnya.
Selain memuatnaik foto bento di laman Instagram (IG), bento_upanana, beliau juga kerap berkongsi hasil tangannya di group Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ni Official dan menerima lebih 4,000 tanda suka dan dikongsi 246 pemilik akaun yang lain.

Katanya, para ibu boleh cuba belajar untuk buat bento kerana anak-anak pasti akan tertarik dengan hasil air tangan ibu tersayang.
“Dari anak-anak tak suka sayur jadi boleh makan sayur dan buat-buahan. Buat bekal ini kita boleh memastikan makanan anak lebih berkhasiat dan selamat.

“Saya tidak pernah masuk mana-mana kelas seni. Bersemangat belajar buat bekal ini demi anak. Usaha yang terbaik untuk anak saya,” tutupnya. -Malaysiapost

