Ekonomi negara suram kerana drama politik

0
2
Datuk Seri Mohamad Hasan

Fitri Nizam

DRAMA politik menyebabkan iklim pelaburan di negara ini terus suram, malah pandemik Covid-19 meletakkan ekonomi Malaysia pada tahap terparah dalam sejarah.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tiga minggu dari sekarang negara bakal memasuki tahun 2021, namun Malaysia mengakhiri tahun 2020 dengan tiada pencapaian penting, apatah lagi lonjakan baharu dalam kemajuan dan kebolehsaingan.

Katanya, negara jiran seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Kemboja terus menunjukkan pencapaian ekonomi yang berdaya saing, menarik pelaburan teknologi dan menjadi negara perindustrian yang penting, manakala Singapura pula memecut laju meninggalkan Malaysia jauh kebelakang.

“Sesuatu mesti dilakukan segera. Kelesuan iklim pelaburan tidak boleh berterusan begini.

“Malaysia bermula dengan ekonomi perindustrian berorentasi eksport. Sekarang sektor perindustrian kita sangat jauh terkebelakang.

“Malaysia, pada hemat saya sedang mengalami deindustrialisasi pramatang (is experiencing premature deindustrialization),” katanya di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, negara telah membuang banyak masa dan peluang pada tahun 2020 ini, justeru, untuk tahun 2021 Malaysia mesti memulakan dengan agenda ekonomi berani, mantap dan inklusif.

“Agenda ‘reset’ ekonomi mesti segera beralih kepada pertumbuhan yang berganda, pelaburan bermutu dalam sektor teknologi dan inovasi serta membuka pasaran dengan lebih agresif.

“Untuk itu, Malaysia mesti segera mempunyai kerajaan yang stabil, Kabinet yang progresif dan dasar ekonomi yang ‘revolutionary’.

“Pandemik Covid-19 tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk ekonomi terus pegun dan terencat sebegini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here