PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke persidangan hari terakhir Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Johor Bahru, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir tiba jam 11.22 pagi, diiringi Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Presiden Bersatu itu juga duduk di barisan sama dengan dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Osman Sapian (Bersatu-Kempas) dan Datuk Dr Sahruddin Jamal (Bersatu-Bukit Kepong).
Muhyiddin pernah menjadi Menteri Besar Johor ke-13 dari 1986 hingga 1995 selepas memenangi kerusi DUN Bukit Serampang.
BH melaporkan, hari terakhir sidang DUN Johor hari ini menjadi perhatian, susulan perkembangan politik di Perak kelmarin apabila Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Timbalan Presiden Bersatu, gagal memperoleh sokongan majoriti usul undi percaya dikemukakan.
Kedudukan Hasni sebagai Menteri Besar sama ada kekal atau tergugat, akan ditentukan menerusi pengundian Belanjawan Johor 2021 yang bakal berlangsung pada Sidang DUN Johor hari ini.
DUN Johor kini memiliki 56 kerusi dengan agihan sebelum ini adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), PAS (satu), Amanah (sembilan) dan PKR (empat).
Pecahan 29 kerusi PN pula, 14 dimiliki Umno, Bersatu (12), dua MIC dan satu PAS, manakala blok PH disumbang 14 kerusi melalui DAP, sembilan milik Amanah dan empat PKR. – Malaysiapost

