KWSP: Kumpulan Wang Susah Pengeluaran?

0
2

Meja Pengarang

KUMPULAN Wang Susah Pengeluaran (KWSP). Begitulah “troll” yang berlegar di media sosial berhubung isu pengeluaran caruman akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 yang diharapkan pencarum.

Kenapa begitu susah untuk KWSP membenarkan pencarum mengeluarkan wang simpanan mereka ketika situasi pandemik Covid-19 yang begitu menekan pada masa ini.

Ketika ini ramai yang kehilangan kerja, projek dihentikan, pemotongan gaji dan sebagainya. Bank terus mengejar hutang mereka selepas moratorium berakhir. Syarikat kredit begitu juga terus menekan peminjam.

Kita lihat begitu banyak syarikat mula gulung tikar, buang pekerja. Pengusaha bas tertekan, sektor pelancongan juga turut terkesan.

Begitu juga kalau diperhatikan banyak gerai-gerai kecil mula dibuka di tepi jalan, namun, pembelinya tidak lah begitu ramai.

Dalam situasi sukar begini KWSP lah mereka harapkan dapat memberi sedikit kelegaan dengan membenarkan pengeluaran duit caruman simpanan hari tua, yang mana duit itu duit mereka sendiri.

Ya, duit mereka sendiri! Simpanan hari tua, tapi kalau berada dalam kesulitan tak perlu untuk tunggu hari tua, sekarang pun sepatutnya diberikan hak kepada pencarum untuk mengeluarkan simpanan mereka.

KWSP bukan “ah long” dan tidak perlu menjadi “ah long” kerana ini duit pencarum yang hanya menikmati dividen setahun sekali.

Sedangkan kamu yang “pembesar-pembesar” KWSP menikmati gaji bulanan yang lumayan dan bonus yang “masyukkkk”, bak kata orang muda zaman ini.

Berlaku adil lah kepada pencarum, itu duit mereka. Duit yang mereka simpan untuk hari tua dan juga di waktu sulit. Jangan nafikan hak mereka.

Semalam, KWSP berkata mereka tidak meletakkan syarat bagi pengeluaran i- Sinar. Cuma kriteria saja. Kalau benar mahu membantu rakyat dalam kesusahan benarkan mereka mengeluarkan simpanan mereka tanpa sebarang kriteria kerana itu duit pencarum.

Diulangi duit KWSP itu duit pencarum!

Buat kerajaan Perikatan Nasional (PN), jika ingin kekal berkuasa di Putrajaya, dengarlah suara rakyat, keluh kesah rakyat dan sengsara rakyat.

Bukannya mendengar suara daripada mereka yang gajinya puluhan ribu yang tidak berada dalam “kasut” rakyat ketika ini dalam situasi “lemas”.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here