KEMELUT politik melanda Perak adalah isu tempatan, bukan nasional, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa.
Katanya, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno menolak usul percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak dibincang secara formal parti dan gabungan BN, sebaliknya diputuskan sendiri wakil rakyat di Perak.
Beliau seterusnya berharap isu itu dapat ditangani dengan baik dan dalam suasana kekeluargaan.
“Saya berharap ia dapat ditangani dengan baik supaya keadaan tidak menimbulkan ketidakstabilan, perpecahan dan harap ia dapat diuruskan secara keluarga dan dalam semangat Perikatan Nasional (PN),” katanya seperti dilaporkan FMT.
Ahmad Faizal hilang kepercayaan majoriti Adun Perak selepas wakil Umno mengusulkan undi percaya di Dewan Undangan Negeri (Dun) semalam.
Beliau hanya memperoleh 10 undian menyokong dan 48 Adun lagi termasuk Adun Umno mengundi untuk tidak percaya manakala satu undi rosak.
Menurut Annuar, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turun ke Perak untuk bertemu pimpinan tertinggi Umno negeri bagi mendapatkan maklum balas dan status terkini isu terbabit.
“Apabila ada isu politik, akan ada keresahan. Jika ia berlaku maka pimpinan perlu uruskan dengan baik dan ia masih perlu diuruskan dalam semangat Muafakat Nasional (MN) dan PN. Kita sedang membuat konsultasi,” katanya.
Mengenai ketetapan PAS bahawa parti itu tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan baharu di Perak, Annuar berkata reaksi parti itu adalah perkara biasa.
“Tidak mengapa, saya fikir setiap parti memberi reaksi awal masing-masing, ia baru berlaku semalam dan kenyataan itu juga dikeluarkan semalam. Selepas ini, pemimpin parti perlu duduk bersama bagi uruskan keadaan itu.
“Ini masalah di Perak dan ia terkait dengan batang tubuh bekas menteri besar Perak. Ada perkara yang kita boleh dengar di luar, ada perkara tidak boleh dibincangkan di khalayak. Saya percaya pucuk pimpinan PN akan duduk dan bincang baik-baik,” katanya. – Malaysiapost

