UMNO Sabah menyatakan pendirian tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya bulan depan, kata Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Perkara itu, katanya, diputuskan dalam Mesyuarat Perhubungan Umno negeri hari ini.
“Keputusan ini mengambil kira kedudukan kerusi terbabit yang tidak ditandingi Umno ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada September lalu.
“Kita juga mahu memaklumkan semua keputusan yang diambil adalah sebulat suara membabitkan Umno Sabah tanpa campur tangan Umno Pusat,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Ditanya sama ada pihaknya menyokong sekiranya darurat diistiharkan di DUN Bugaya, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menyatakan Umno negeri akan menyokong tindakan itu.
“Jika PRK Bugaya ditangguhkan disebabkan pengistiharan darurat seperti Parlimen Batu Sapi untuk mengelak penularan Covid-19, kita pastinya akan bersetuju.
“Hal ini kerana keutamaan kita adalah nyawa dan keselamatan rakyat,” katanya.
PRK Bugaya perlu diadakan ekoran penyandangnya, Datin Manis Muka Mohd Darah meninggal dunia pada 17 November lalu. – Malaysiapost

