Malim Gunung Kinabalu sedia berdepan ‘mabuk gunung’

0
3

PEMBUKAAN semula aktiviti mendaki Gunung Kinabalu pada 7 Disember ini pastinya menggembirakan para malim gunung selepas hilang punca pendapatan sejak Mac lalu.

Namun mereka perlu bersedia agar tidak mengalami mabuk gunung kerana tidak mendaki bagi tempoh yang lama.

Bercerita kepada Bernama, Jahimin Waimi, 50, yang menjadi malim gunung sejak 2004 mengakui perkara itu kerana pernah mabuk gunung apabila tidak mendaki dalam tempoh sekurang-kurangnya sebulan semasa gempa bumi pada 2015.

Jahimin berkata, beliau mengalami pening dan mengantuk, simptom mabuk gunung, ketika berada pada ketinggian lebih 3,000 meter dari aras laut.

“Ia berlaku sebab perubahan pada ketinggian yang menyebabkan kekurangan oksigen,” katanya yang berasal dari Kampung Dumpiring, Kundasang.

Jahimin berkata, biasanya beliau mendaki puncak gunung setinggi 4,095 meter dari aras laut itu antara lima hingga enam kali sebulan bergantung jadual ditetapkan Taman-Taman Sabah (TTS).

Berkongsi pengalaman sama, Mohammad Somihin, 24, dari Kampung Lembah Permai Kundasang yang menjadi malim gunung sejak 2009 juga mengakui akan mengalami gejala mabuk gunung sekiranya lama tidak mendaki Gunung Kinabalu.

Mohamad berkata beliau menghadapi keadaan itu apabila berada di penginapan di Panabalan yang berketinggian 3,272 meter dari aras laut.

“Saya akan pening tetapi tidaklah teruk, masih boleh dikawal dan untuk hilangkan mabuk itu saya keluar dari bilik penginapan, hirup udara segar selain membiasakan badan dengan suhu sekeliling,” kata ahli Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar) itu.

Mohammad berkata kali terakhir beliau mendaki pada 17 Mac lalu dan berikutan penutupan aktiviti pendakian, pendapatan sebagai malim gunung juga terjejas dengan ada antara mereka menjalankan aktiviti pertanian bagi menampung perbelanjaan seharian.

Berbeza pula bagi porter David Solunggin, 42, beliau tidak menghadapi masalah mabuk gunung walaupun tidak mendaki dalam tempoh masa lama, namun mengakui beberapa rakannya ada mengalami masalah berkenaan.

Sepanjang tiga tahun menjadi porter yang membawa barangan keperluan kakitangan TTS ke Panalaban, beliau tidak mengalami keadaan itu.

“Waktu aktiviti pendakian ditutup, saya masih mendaki sekali atau dua kali seminggu untuk menghantar barangan keperluan kakitangan yang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di Panalaban,” katanya yang menetap di Pekan Nabalu.

Rabu lalu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun dilaporkan berkata aktiviti pendakian ke puncak Gunung Kinabalu akan dibuka Isnin ini, tidak melebihi 50 peratus kapasiti pendaki yang dibenarkan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Aktiviti mendaki ditutup sementara pada 18 Mac lalu berikutan pelaksanaan PKP sebelum dibuka semula pada 16 Mei lepas namun ia ditutup semula pada 9 Oktober bagi mengekang penularan Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here