Muhammad Mustakim Ramli
PENGASAS Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyindir PAS Perak dalam krisis politik yang melanda negeri itu.
Menerusi Facebooknya, Ahli Parlimen Muar itu berkata apabila situasi yang menyebelahi mereka segalanya tidak bermasalah, namun jika sebaliknya ia dikatakan pengkhianatan.
“Inilah ahli politik hari ini. Apabila parti mereka berkumpul dan menukar kerajaan Persekutuan tanpa menghormati keputusan pilihan raya umum, tak ada masalah.
“Tapi, apabila ada usul sah dari Dewan Undangan Negeri untuk mengabsahkan kepimpinan DUN, ia jadi satu penderhakaan dan pengkhianatan kepada negara, bangsa dan agama,” katanya.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga memuat naik video Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gunung Semanggol, Razman Zakaria di Facebook beliau.
Menerusi video itu Razman berkata, menukar pemimpin kerajaan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak adalah penderhakaan dan pengkhianatan di dalam situasi negara berdepan Covid-19. – Malaysiapost

