Amanah yakin kemelut selesai dengan kebijaksanaan Sultan Nazrin Shah

0
2
2015-12-14 Datuk Seri Nizar Jamaluddin at the press conference in Ipoh. - Pic by Wong Tuck Keong.

Muhammad Mustakim Ramli

PARTI Amanah Negeri Perak yakin kemelut politik negeri itu khususnya dalam pelantikan Menteri Besar akan diselesaikan dengan kebijaksanaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, kata Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, Amanah dan parti komponen lain dalam Pakatan Harapan (PH) menerima segala keputusan yang akan diperkenankan Sultan Perak nanti.

“Saya berkeyakinan yang mana dengan kebijakan dan perkenan Sultan Perak dapat menyelesaikan kemelut ini di samping Amanah Perak akan merujuk kepada Presiden Parti Amanah Negara dan Majlis Pimpinan PH Nasional berkaitan isu ini dan keutamaan kami (Pakatan Harapan) adalah kesejahteraan rakyat yang terkesan dalam suasana pandemik ini.

“Amanah Perak serta rakan-rakan dalam PH Perak akan menjunjung kasih apa jua keputusan yang diperkenan oleh Sultan Perak kelak demi kesejahteraan rakyat dalam suasana pandemik Covid-19 ini.

“Diharapkan kerajaan yang baru dibentuk nanti dapat membantu meringankan penderitaan rakyat Perak keseluruhan yang terkesan seperti pengangguran, masalah ekonomi, kesihatan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Nizar yang pernah menjadi Menteri Besar Perak berkata, tiada satu pun parti mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan negeri di Perak ketika ini.

“Barisan Nasional (BN) 25 kerusi; DAP (16); Amanah (5); Bersatu (5); PKR (3); PAS (3); Gerakan (1) dan Bebas (1). Justeru untuk membentuk kerajaan negeri, satu gabungan diperlukan agar kerajaan yang terbentuk nanti mempunyai kedudukan kukuh dan stabil untuk menerajui Perak.

“Setakat ini hanya gabungan PH yang dilihat seiringan yang mana kami mempunyai 24 Adun tetapi tidak mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan yang mana memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN.

“Saya tidak pasti kedudukan gabungan Perikatan Nasional/Muafakat Nasional di Perak kerana Umno/BN jelas menolak Bersatu dan PAS manakala Bersatu dan PAS juga tidak menyokong Umno /BN dalam pengundian belah bahagi semalam,” katanya. – Malaysiapos

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here