TIGA pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) Perak sudah memasuki Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, pagi tadi.
Pengerusi DAP Perak yang juga Adun Aulong, Nga Kor Ming bersama Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak serta Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi tiba kira-kira jam 10.45 pagi.
Ketiga-tiga mereka dijadual menghadap Sultan Nazrin Shah pada jam 11 pagi ini.
Sementara itu, Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad, pula dijangka menghadap baginda pada jam 11.30 pagi.
Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Adun Chenderiang dan Timbalan Presiden Bersatu mengumumkan akan berundur daripada jawatannya.
Ia setelah beliau gagal mendapat sokongan majoriti wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undi percaya yang diusulkan Adun Pengkalan Baru (Umno), Abdul Manaf Hashim.
Ahmad Faizal hanya mendapat sokongan 10 Adun berbanding 48 yang menolak selain satu undi rosak atau berkecuali. – Malaysiapost

