Aiman Hanif
KETIKA situasi politik Perak ‘panas’ selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) menolak usul undi percaya terhadap Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Politik Presiden PAS, Syahir Sulaiman berdoa supaya Allah SWT kekalkan kemesraan tiga pemimpin utama parti Melayu.
Dengan memuat naik gambar pertemuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Syahir memohon supaya Allah SWT tunjukkan jalan kepada mereka.
“Ya Allah kekalkan kemesraan hati-hati ini, tunjukkan hati-hati ini jalan-Mu yang sebenar, penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu yang tidak kunjung malap.
“…Dan lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan iman dan keindahan tawakal kepada-Mu,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, malam ini.
Terdahulu Ahmad Faizal yang juga Adun Chenderiang ditumbangkan dari tampuk kuasa kerajaan negeri menerusi usul undi percaya di sidang DUN Perak pagi tadi.
Hanya 10 daripada 59 Adun menyokong usul itu berbanding 48 yang menolak. Satu undi rosak atau berkecuali.
Umno memiliki kerusi terbanyak dalam DUN Perak dengan 25 kerusi, diikuti DAP (16), Bersatu (6), Amanah (5) dan masing-masing tiga dimiliki PKR dan PAS, selain satu milik wakil bebas.
PAS dalam satu kenyataan dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hasdan berkata parti itu tidak akan menyertai pembentukkan kerajaan baharu di Perak.- Malaysiapost

