Parti baharu Dr Mahathir jadi blok ketiga PRU15

0
4

Fitri Nizam

Tun Dr Mahathir Mohamed berkata parti baharu yang bakal ditubuhkannya akan menjadi blok ketiga pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Katanya, parti yang belum ditentukan namanya itu tidak terikat dengan mana-mana gabungan sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata terdapat beberapa halangan untuk pihaknya bekerjasama dengan parti di dalam kedua-dua gabungan berkenaan.

“Kami mahu bekerjasama dengan PH tetapi ada lah beberapa masalah dengan parti di dalam PH.

“Saya tidak mahu menyebutnya namun saya rasa semua kamu (media) tahu,” katanya dalam sidang media khas di Yayasan Al-Bukhary di ibu negara hari ini.

Dr Mahathir berkata, parti baharu itu akan didaftar dengan segera berikutan pihaknya merancang untuk bertanding di kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) Slim yang bakal diadakan tidak lama lagi.

“Ia akan didaftarkan secepat mungkin kerana kami akan bertanding di DUN Slim. Ia juga bagi membolehkan kami menggunakan satu simbol dan satu bendera,” katanya.

Namun begitu, Dr Mahathir berkata, parti baharu itu tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebaliknya menyokong Parti Warisan Sabah (Warisan) pada PRN berkenaan.