Moratorium: Umno cadang 4 kaedah bantu B40, M40

0
2

Umno menyarankan supaya kerajaan memperhalusi lagi kaedah pelaksanaan moratorium bersasar agar lebih ramai golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dapat dibantu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi empat perincian untuk dipertimbangkan, pertama memberi lanjutan moratorium automatik kepada pinjaman kenderaan yang mempunyai bayaran bulanan bawah RM1,000 sebulan.

Kedua, katanya, memberi lanjutan moratorium secara automatik kepada pinjaman rumah kediaman atau premis perniagaan yang bayaran bulanan di bawah RM2,500 sebulan.

“Selain itu, pinjaman peribadi dari bank-bank atau koperasi yang bayaran bulanan di bawah RM2,000 sebulan juga perlu diambilkira.

“Kita faham ramai rakyat mempunyai pinjaman peribadi yang dibuat untuk memenuhi keperluan mendesak seperti yuran universiti anak, pembelian barangan keperluan dan perkara lain yang penting sebelum ini.

“Akhir sekali moratorium automatik bersasar ini dicadang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020 supaya golongan B40 dan M40 dapat bangkit sepenuhnya dari kesulitan ekonomi sepanjang tahun ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid berkata secara umumnya peminjam kenderaan bukan mewah seperti Perodua dan Proton serta rumah kos sederhana yang memperoleh manfaat moratorium akan berbelanja di sektor ekonomi terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Peminjam di kategori inilah yang akan makan di gerai-gerai, membeli barang dari peniaga kecil dan berbelanja di sektor PKS.

“Mereka tidak beli barangan mewah. Sebaliknya kebanyakan rakyat yang selama ini mempunyai ‘komitmen hampir penuh dari gaji bulanan’ dapat berbelanja di kitaran ekonomi negara.

“Saya yakin, peminjam kategori ini kebanyakannya bukan pekerja berjawatan tinggi, mereka sukar mendapat pelepasan waktu dari majikan untuk bertemu pihak bank bagi bincang untuk perlanjutan moratorium,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, adalah lebih baik sekiranya perlanjutan moratorium secara automatik bersasar diberikan kepada golongan terbabit, apatah lagi bayaran pinjaman mereka tidak terlalu besar.

Beliau juga yakin bank tidak akan rugi dengan kaedah itu kerana peminjam kenderaan mewah dan rumah mewah serta syarikat-syarikat besar tetap terus membayar pinjaman mereka.

“Orang kaya biasanya ‘menyimpan’ wang lebihan mereka, tetapi golongan B40 dan M40 akan memanfaatkan moratorium ini untuk berbelanja di sektor ekonomi.

“Peniaga-peniaga kecil, warung, restoran, penjual barangan online akan memperoleh hasil jualan yang lebih baik.

“Mungkin ada juga golongan B40 dan M40 dapat mengambil kesempatan bercuti secara sederhana dalam negara, seterusnya membantu industri pelancongan yang sangat teruk terjejas akibat Covid-19,” katanya.