Faizal harap negeri lain ‘tidak berjangkit’

0
2

“Saya berharap perkara ini tidak ‘berjangkit’ ke negeri lain dan peringkat Persekutuan,” demikian kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Faizal Azumu.

Adun Chenderiang itu terpaksa akur dengan kekalahan usul undi percaya terhadapnya di Sidang Dun Perak, hari ini.

“Seperti di Parlimen di peringkat jawatankuasa, tidak perlu dibuat pengundian belah bahagi di setiap persidangan. Marilah berlapang dada dan buat untuk rakyat.

“Beri sokongan pada kerajaan sekarang dan biar ia bekerja. Apabila ada pilihanraya, barulah kita masuk ke gelanggang dan serahkan kepada rakyat,” jelas beliau.

Selain itu Ahmad Faizal berkata walaupun ada kala mempunyai perasaan merindui ‘rakan-rakan’ dalam Pakatan Harapan (PH), namun beliau tidak akan memberi sokongan baharu kepada pembangkang.

Ini kerana jelas beliau demi kestabilan politik di kala negara sedang menghadapi pandemik Covid-19, beliau mengulangi pendirian bahawa akan menjamin transisi pentadbiran berada dalam keadaan baik.

Justeru, Ahmad Faizal berkata, Bersatu akan terus kekal dalam Perikatan Nasional (PN) di Perak meskipun dirinya tidak lagi menjadi Menteri Besar.

Beliau berharap ahli partinya dapat turut berlapang dada dan akan memberi kerjasama baik kepada Menteri Besar baharu yang bakal dilantik kelak.

“Sebelum ini pentadbiran berjalan dengan baik namun mungkin ada yang merasakan ada yang lebih layak menduduki kerusi Menteri Besar.

“Saya berlapang dada dan menerima keputusan itu dan sebagai Pengerusi Bersatu Perak, saya akan cari jalan untuk beri peluang Menteri Besar baharu agar dapat menjalankan tanggungjawabnya.

“Sebagai Menteri Besar ianya tidak boleh melaksanakan tanggungjawabnya sekiranya sentiasa diganggu. Jadi, kestabilan itu amat penting untuk beri perkhidmatan pada rakyat,” katanya.

Ahmad Faizal tidak dapat mempertahankan kedudukannya sebagai Menteri Besar Perak selepas 48 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak menyokong usul undi percaya terhadapnya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here