NATION of Women (NOW) menyarankan agar parti politikmenggalakkan penglibatan ahli wanita sebanyak 30 peratus dalam arena itu.
Presidennya, Haniza Mohamed Talha berkata, penglibatan dan sumbangan kaum wanita dalam arena politik tidak boleh disangkal lagi.
Katanya, jika dahulu wanita berperanan sebagai perayu undi ketika pilihan raya berlangsung.
“Kini penglibatan wanita bukan hanya sebagai perayu undi, tetapi turut menjadi calon sehingga dilantik sebagai wakil rakyat mahupun menteri dalam barisan kabinet,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sejak penubuhan Parlimen Malaysia pada tahun 1959, terdapat seramai 84 orang wanita di Dewan Rakyat.
“Pada pilihan raya umum 2018 lalu sahaja, seramai 33 orang wakil rakyat adalah wanita atau 14.86 peratus daripada keseluruhan ahli parlimen.
“Julung kalinya pada Pilihan raya umum ke-14 (PRU14), wanita telah diangkat menjadi timbalan perdana menteri.
“Malah mencatatkan rekod seramai lima orang menteri kabinet wanita turut dilantik,” katanya.
Bagaimanapun, Ahli Undangan Negeri (Adun) Lembah Jaya itu berkata, dalam isu wanita dan politik di Malaysia, ternyata Malaysia masih di belakang.
“Berbanding negara-negara membangun lain terutama dalam memberikan pengiktirafan mahupun kesamarataan gender kepada wanita sebagai wakil dalam politik,” katanya.
Katanya, laporan Statistik Pemerkasaan Wanita Dalam Domain Terpilih Malaysia, 2020 baru-baru ini, menjelaskan menerusi Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2020 penguasaan politik membabitkan wanita mencatat skor terendah iaitu 10.8 peratus (skor 0.108).
“Ini menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam jawatan Menteri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Bagaimanapun peratusan skor ini meningkat berbanding tahun 2018 (0.106 ),” ujarnya.
Sehubungan itu, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, NOW berpandangan, agenda meningkatkan penglibatan wanita dalam politik perlu disegerakan.
“Sudah tiba masanya 30 peratus perwakilan wanita sebagai pembuat dasar dalam parlimen diletakkan sebagai syarat bukan sekadar tuntutan untuk dicapai.
“Langkah proaktif perlu dilakukan segera termasuk memberi keutamaan kepada lebih ramai calon wanita pada pilihan raya akan datang,” katanya.
Justeru, NOW menyeru parti-parti politik juga memainkan peranan untuk menggalakkan penglibatan ahli wanita untuk bertanding dalam mana-mana jawatan dalam parti.
“Pelbagai program perlu diatur untuk menggilap lebih ramai pemimpin wanita menyertai bidang ini,” katanya.
Tambahnya, statistik ‘United Nations Entity for Gender Equality & the Empowerment of Women’, Malaysia berada di tangga 141 dunia membabitkan penglibatan wanita dalam politik dan parlimen bagi tahun 2019.
“Ia bukti bahawa Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding Negara Asia lain seperti Filipina ditangga (51) dan Indonesia (114),” katanya.
Katanya lagi, pendekatan lain boleh dilakukan adalah memperkenalkan kuota gender di Malaysia.
“Melalui kuota ini wanita diberi lebih ruang dan peluang untuk menceburi politik, sekaligus mampu mencapai sasaran 30 peratus tersebut.
“NOW menggesa pihak kerajaan menggunakan pendekatan ‘affirmative’ iaitu menetapkan kuota minima 30 peratus penglibatan wanita dalam peringkat membuat keputusan dilaksanakan sehingga ketidakseimbangan penglibatan wanita ini diatasi,” katanya. -Malaysiapost

