BIARPUN Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikhususkan untuk simpanan masa depan, namun institusi itu komited untuk membantu ahlinya dalam apa juga situasi khususnya ketika negara berdepan pandemik Covid-19, ujar Ketua Pegawainya, Alizakri Alias.
Beliau menjelaskan, kemudahan i-Sinar diperkenalkan bagi memperluaskan bantuan kepada pencarum selepas kemudahan i-Lestari dilaksanakan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.
“Kami faham situasi sekarang adalah waktu genting dan kita sebulat suara bersetuju menolong ahli kita buat masa ini, usah cakap untuk masa hadapan.
“Itu sebab kita perkenalkan i-Sinar dan i-Lestari untuk kita bantu mereka yang betul-betul terjejas akibat Covid-19,” katanya menerusi temu bual seperti dilaporkan Astro Awani.
Menurut Alizakri, KWSP bukan seperti institusi perbankan yang boleh mengeluarkan wang masing-masing pada bila-bila masa.
Sebaliknya, beliau menjelaskan tujuan penubuhan institusi itu bagi memastikan setiap pencarum mempunyai simpanan pada usia tua kelak.
“Memang saya tidak nafikan ini adalah duit ahli kita, tetapi KWSP bukan macam bank. Kalau macam bank, duit ahli boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.
“Sebaliknya, KWSP ditubuhkan hampir 70 tahun lalu atas kebijaksanaan kerajaan terdahulu bagi memastikan rakyat Malaysia yang bekerja mempunyai wang yang cukup pada usia tua,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KWSP juga memperkenalkan kadar penurunan caruman daripada 11 peratus kepada 7 peratus untuk membantu meringankan beban ahli dalam situasi sukar ini.
“Langkah itu bagi memastikan setiap ahli mempunyai lebihan wang untuk perbelanjaan harian.
“Justeru, i-Sinar bukan suatu perkara yang perlu dilihat secara persendirian, tetapi perlu dilihat secara menyeluruh daripada program i-Lestari, penurunan kadar caruman dan sekarang i-Sinar,” ujarnya. – Malaysiapost

