Nurul Huda Abhar
KEMENTERIAN Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan terus memastikan inisiatif perlombongan secara mampan dan sedang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk perlombongan unsur nadir bumi (REE), termasuk REE bukan radioaktif (NR-REE).
Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, SOP itu turut merangkumi keseluruhan rantaian nilai mineral daripada perlombongan hingga kepada pengurusan sisa dan penutupan lombong secara progresif.
Beliau berkata, SOP itu juga perlu disokong dengan perundangan lain yang berkaitan iaitu Akta Pembangunan Mineral 1994, Akta Penyiasatan Kajibumi 1974, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Enakmen Mineral Negeri-Negeri.
“Dalam hal ini, KeTSA akan mengadakan sesi konsultasi dengan semua pihak berkepentingan yang terdiri daripada kerajaan negeri, agensi Persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil industri untuk memuktamadkan SOP NR-REE berkenaan.
“Ini juga bagi memastikan kelestarian alam sekitar, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta kesejahteraan masyarakat di sekitar kawasan perlombongan.
“Pematuhan sepenuhnya SOP ini merupakan syarat utama sebelum memulakan sebarang perlombongan yang dikawal melalui Skim Pengendalian Melombong oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kata Dr Shamsul Anuar, selain penguatkuasaan yang akan dijalankan oleh JMG negeri, Jabatan Perhutanan Negeri juga berperanan memastikan tiada perlombongan NR-REE dijalankan tanpa kelulusan teknikal dan tiada sebarang aktiviti perlombongan di kawasan hutan simpan kekal.
Tambahnya, ini juga dapat mengelakkan insiden pencemaran yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kesihatan masyarakat.
Selain itu, katanya, walaupun pengeluaran permit untuk penerokaan mineral terletak di bawah kuasa kerajaan negeri, proses saringan dan tapisan perlu dijalankan bagi memastikan semua syarat dipatuhi sebelum kelulusan diberikan.
“Pada masa sama, KeTSA juga telah membangunkan kerangka Pelan Transformasi Industri Mineral 2021-2030 yang akan menjadi panduan untuk memastikan pembangunan industri mineral tidak lagi tertumpu kepada aktiviti perlombongan di peringkat huluan semata-mata.
“Industri mineral perlu berkembang sehingga ke aktiviti pemprosesan, penambahan nilai atau penghasilan produk berasaskan mineral yang merangkumi peringkat pertengahan dan hiliran,” ujarnya. – Malaysiapost

