482 ditahan ingkar PKP – Ismail Sabri

0
3

SERAMAI 482 individu ditahan semalam kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 438 dikenakan kompaun, manakala 40 lagi direman dan empat dijamin.

“Seramai 69 orang ditahan kerana tidak memakai pelitup muka, 128 gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal dan 101 individu lagi gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran pelanggan.

“Selain itu, 137 individu ditahan membabitkan aktiviti di pusat hiburan, 26 lagi kerana rentas negeri dan daerah PKP Bersyarat tanpa kebenaran dan 21 atas kesalahan lain,” katanya menerusi kenyataan.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata, polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) mengadakan sebanyak 296 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam.

Katanya, seramai 68 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 10 tekong serta tiga kenderaan darat dan satu bot dirampas menerusi operasi itu, bagi mengekang kemasukan Pati terutama di lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya.

Beliau berkata, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 80,748 individu dari luar negara pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 78 hotel serta 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) dan swasta.

“Daripada jumlah itu, 11,862 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, manakala 502 dihantar ke hospital untuk rawatan, 68,384 individu telah discaj dan dibenarkan pulang,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here