5 lagi laporan polis terhadap selebriti program realiti keagamaan

0
2

LIMA lagi laporan polis diterima Polis Selangor berhubung selebriti program realiti keagamaan yang ditahan, baru-baru ini dan menjadikan jumlah laporan setakat ini adalah 12.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata semua laporan itu diterima di dua daerah iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan juga IPD Petaling Jaya dan siasatan masih berjalan.

“Jumlah laporan terkini kira-kira empat hingga lima, jadi kita menyeru pada mangsa-mangsa agar tampil ke hadapan sekiranya mereka mangsa kepada pendakwah ini,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Noor Azam berkata, berdasarkan siasatan awal, kebanyakan mangsa berusia 21 hingga 25 tahun dan pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa mudah tertarik dengan cara pendakwah terbabit meyakinkan mereka.

“Apabila dia menggambarkan diri dia sebagai pendakwah yang boleh menenangkan dan meyakinkan mangsa terutamanya bercakap lebih menjurus kepada keagamaan, ini menjadi tarikan kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata, semua laporan yang dibuat mangsa akan disiasat dan dikumpulkan dari pelbagai sudut, termasuk bagaimana perkenalan mereka juga medium apa yang digunakan.

“Kalau siasatan lengkap, kita akan ambil tindakan. Kita akan kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan fakta-fakta dan bukti. Sama ada boleh dakwa atau tidak, keputusan itu terpulang kepada pihak pendakwaan,” katanya.

Ketika ditanya mengapa kebanyakan mangsa mengambil masa lama untuk membuat laporan polis, katanya, berkemungkinan mangsa malu kerana ia membabitkan maruah diri.

“Kadang-kadang mangsa malu, kita tidak boleh salahkan mangsa sebab ini melibatkan maruah tetapi apabila seorang keluar, mesti dua tiga orang mangsa akan keluar lagi.

“Jadi saya menyeru, yang pernah jadi mangsa datanglah ke balai dan buat laporan polis, kita akan ambil tindakan, tidak perlu takut,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, seorang selebriti dari program realiti berbentuk keagamaan direman atas tujuh laporan polis berkaitan kes rogol dan cabul, dipercayai menggunakan kedudukannya sebagai da’i untuk memperdayakan mangsa. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here