TIADA keperluan mendesak untuk kerajaan meningkatkan had umur persaraan penjawat awam sehingga 65 tahun.
Presiden CUEPACS, Adnan Mat berkata, had umur persaraan penjawat awam sudah tiga kali mengalami perubahan dalam tempoh 20 tahun.
Beliau berkata, kali pertama had usia persaraan penjawat awam dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun pada 2001.
“Ia diikuti tujuh tahun kemudian, apabila usia persaraan dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun pada 2008.
“Manakala had usia persaraan sekali lagi mengalami perubahan daripada 58 tahun kepada 60 tahun pada 2011,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sebahagian besar individu berusia 60 tahun ke atas kebiasaanya berdepan dengan beberapa kekangan berkaitan pekerjaan termasuk faktor kesihatan selain perlu mengadaptasi teknologi baharu yang semakin canggih.
“Ketetapan untuk mengekalkan had usia persaraan perkhidmatan awam ini juga mengambil kira pelbagai pertimbangan lain termasuk memberi peluang pekerjaan kepada lebih banyak golongan muda yang berkemahiran dan berbakat.
“Kemasukan kakitangan muda sudah pasti sedikit sebanyak menyumbang kepada peremajaan sistem perkhidmatan awam sesuai dengan keadaan semasa,” katanya.
Justeru, beliau berkata, peraturan semasa yang terpakai ketika ini untuk had usia persaraan penjawat awam adalah masih munasabah dan relevan.
“Pada masa sama penjawat awam boleh membuat keputusan untuk bersara mengikut pilihan sendiri pada bila-bila masa yang difikirkan perlu walaupun masih belum mencapai usia 60 tahun,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, CUEPACS mengakui menerima begitu banyak cadangan daripada pelbagai pihak termasuk daripada wakil-wakil pekerja di sektor swasta agar had usia persaraan dinaikkan.
“Cadangan tersebut timbul kerana ramai rakyat Malaysia masih lagi memiliki baki pinjaman perumahan yang banyak walaupun telah menghampiri usia persaraan.
“Malah ada yang terpaksa membuat pinjaman perumahan sehingga umur 65 tahun.
“Rata-rata mereka ini bimbang tidak mempunyai pendapatan boleh guna yang cukup selepas bersara kerana masih lagi perlu membayar hutang rumah,” katanya.
Justeru, katanya, perkara ini berlaku disebabkan harga rumah yang sangat mahal ketika ini selain skim gaji yang rendah.
“Gaji yang rendah tersebut memberi kesan kepada simpanan hari tua mereka sama ada memiliki simpanan KWSP atau wang pencen yang diterima jika mereka penjawat awam.
“Untuk atasi masalah ini CUEPACS berharap kerajaan dapat meningkatkan had gaji minimum ke tahap yang lebih baik.
“Perkara ini membolehkan rakyat mempunyai simpanan KWSP yang lebih banyak untuk sektor swasta manakala penjawat awam boleh menerima wang pencen lebih tinggi,” katanya.
Baiu berkata, pendapatan boleh guna mereka selepas bersara juga akan lebih baik sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Dalam masa yang sama perbanyakkan lagi membina rumah-rumah yang dikategorikan sebagai mampu milik dan selesa untuk golongan rakyat berpendapatan rendah,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Malaysia perlu meneliti semula dasar had usia persaraan berikutan statusnya sebagai negara mempunyai masyarakat berusia atau menua.
Wakil dan Pengurus Negara Kumpulan Bank Dunia di Malaysia, Firas Raad dilaporkan berkata, aspek demografi Malaysia berganjak ke era dengan kadar kesuburan dan kematian rendah berbanding paras lebih tinggi sebelum ini. -Malaysiapost

