Siti Nurhaliza akui bimbang hamil ketika pandemik Covid-19

0
3

PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui bimbang mengenai kehamilannya ketika pandemik Covid-19, kerana mengetahui wanita hamil sangat berisiko tinggi untuk dijangkiti sebarang penyakit.

Pemilik nama penuh Siti Nurhaliza Tarudin itu turut menangguhkan proses rawatan kesuburan in-vitro (IVF) yang dijadualkan lebih awal kerana bimbang ketika itu kes harian positif Covid-19 masih tinggi.

“Saya akui agak bimbang juga hamil ketika ini kerana wanita hamil antara yang berisiko tinggi untuk terdedah kepada banyak penyakit. Sebetulnya saya dijadualkan membuat proses IVF lebih awal tetapi ketika itu Covid-19 baru sahaja merebak dan kesnya membimbangkan.

“Jadi kami lewatkan sehingga kes ketika itu sudah agak reda. Pun begitu saya kini amat berjaga-jaga dan tidak akan keluar rumah jika tidak ada kepentingan,” katanya semalam.

Sementara itu, Siti memberitahu emosinya menjadi lebih sensitif semasa kehamilan kali ini lebih-lebih lagi jika membaca kisah sedih di laman sosial.

“Apa yang pasti saya lebih penat untuk kehamilan kali ini, mungkin juga faktor usia kerana saya akan mencecah 42 tahun pada tahun depan.

“Selain itu, kali ini saya perasan saya lebih emosi dan mudah menangis lebih-lebih lagi jika menonton drama sedih atau membaca kisah-kisah sedih di laman sosial,” ujarnya penyanyi berusia 41 tahun itu.

Menurut Siti, beliau berserah kepada Allah semasa mula menjalani proses IVF untuk kehamilan kali kedua dan lebih selesa banyakkan berehat tatkala pandemik Covid-19 masih menyerang.

Katanya, proses kehamilan keduanya berjalan lancar dan tidak mengalami seperti pendarahan seperti pernah berlaku ketika mengandungkan anak pertamanya, Siti Aafiyah.

Menjawab persoalan mengapa menunggu lama untuk mengumumkan berita gembira itu, Siti berkata dia mengikut nasihat ustaz agar mencukupkan usia kandungan empat bulan sebelum memberitahu kepada umum kerana dipercayai ia sudah ditiupkan roh di dalamnya.

Siti turut mengakui reaksi anak pertamanya sangat teruja apabila diberitahu akan menjadi kakak tidak lama lagi.

“Ketika mula-mula cerita padanya dia sangat teruja. Nak kata faham atau tak itu tak pasti tapi bila kita kata ada baby dalam perut saya, dia selalu datang cium perut saya,” ujarnya lagi.

Siti bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa mengumumkan kandungannya kini berusia empat bulan lebih ketika satu sidang media dan pelancaran BeauSiti X Wonderlab menerusi aplikasi Zoom petang semalam.

Sebelum ini, Siti Nurhaliza mendedahkan akan memulakan sesi rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) selepas sambutan Aidilfitri Mei lalu.

Pada 2015, Siti pernah mengalami keguguran dan kemudiannya berkongsi khabar gembira tentang kehamilannya dua tahun kemudian.

Hasil perkongsian hidup bersama Khalid, pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Siti Aafiyah yang berusia lebih dua tahun. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here