MT PN setuju pembentukan Majlis Presiden

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

MESYUARAT Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk mencadangkan pembentukan Majlis Presiden yang akan dianggotai oleh semua ketua parti Kerajaan PN.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hazmah Zainudin, berkata persetujuan itu dibuat semalam dengan kehadiran penuh semua pimpinan.

“Mesyuarat MT dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dihadiri oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan, Datuk Seri Yong Teck Lee dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Timbalan-timbalan Pengerusi PN bersama semua ahli MT yang lain.

“Mesyuarat MT bersetuju untuk mencadangkan pembentukan sebuah Majlis Presiden yang akan dianggotai oleh semua ketua parti Kerajaan PN sebagai platform untuk membincangkan dasar-dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dalam Perhimpunan Agung Tahunan parti itu berkata, hubungan dan kerjasama antara parti dalam PN akan diperkukuhkan.

Muhyiddin berkata, ia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), selain menjelaskan sudah tiba masa bagi Majlis Presiden dianggotai presiden semua parti membentuk kerajaan, ditubuhkan.

Sementara itu, Hamzah turut memaklumkan mesyuarat MT itu juga untuk membincangkan persediaan parti bagi menghadapi PRU akan datang.

Selain itu, mesyuarat MT juga memutuskan bahawa PN akan segera melaksanakan program-program flagship di seluruh negara untuk membantu kebajikan semua lapisan rakyat. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here