KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyarankan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk memanfaatkan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1OKU1P) yang ditawarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, skim berkenaan bertujuan bagi mendaftarkan perniagaan baharu dan memperbaharui pendaftaran perniagaan secara percuma.
Beliau berkata demikian semasa sesi serahan sijil pendaftaran perniagaan SSM di bawah S1OKU1P dengan cetakan ‘commemorative certificate’ kepada seorang usahawan OKU yang tular di media baru-baru ini, Mohd Nor Abdullah.

Mohd Nor yang mengalami kecacatan di kedua-dua belah tangannya sejak lahir telah menyara kehidupan dengan menjalankan perniagaan menjual nasi lemak di Cheras, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Alexander berkata, Mohd Nor telah memanfaatkan S1OKU1P dengan mendaftarkan perniagaannya secara percuma pada 1 November lalu.
Katanya, skim ini mula diperkenalkan pada 23 Oktober 2012 sebagai ‘Insentif OKU 2012’ dan dijenamakan kepada S1OKU1P pada 5 Januari 2017.
“Ia bertujuan memberi galakan kepada golongan istimewa ini untuk menceburi bidang perniagaan secara sah di sisi undang-undang bagi mempertingkatkan taraf hidup mereka.
“Melalui skim ini, golongan OKU boleh mendaftar dan memperbaharui perniagaan mereka di SSM secara percuma bagi sebuah perniagaan yang dimiliki oleh OKU.
“Dengan mendaftarkan perniagaan di SSM, mereka dapat memberi keyakinan kepada para pelanggan untuk berurusan dengan perniagaan yang dijalankan disamping berpeluang mengembangkan potensi perniagaan yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, memiliki sebuah perniagaan yang sah adalah sangat penting bagi setiap usahawan termasuklah golongan OKU.
“Ia bagi membolehkan mereka memenuhi syarat permohonan untuk mendapatkan bantuan latihan kemahiran, bantuan pembiayaan dan lain-lain bentuk bantuan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan,” katanya.
Katanya, Ketika ini, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 menetapkan yuran bagi mendaftarkan perniagaan baharu dan pembaharuan pendaftaran perniagaan adalah sebanyak RM60 bagi pendaftaran menggunakan nama tred dan RM30 bagi pendaftaran menggunakan nama sendiri.
“Melalui S1OKU1P, golongan OKU dikecualikan daripada membayar yuran tersebut.
“Sehingga 31 Oktober 2020, sebanyak 12,161 perniagaan telah didaftarkan di bawah S1OKU1P.
“Dari Januari hingga Oktober 2020 pula, seramai 1,686 golongan OKU telah memanfaatkan skim ini di mana ia merupakan peningkatan sebanyak 4 peratus berbanding jumlah pendaftaran pada tahun 2019 iaitu sebanyak 1,618. Angka ini dijangka akan terus meningkat menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, bilangan OKU yang telah memanfaatkan skim tersebut dilihat masih rendah iaitu pada kadar 2.4 peratus sahaja.
“Berbanding jumlah bilangan OKU yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu seramai 581,265 orang setakat 31 Oktober 2020 mengikut maklumat yang dikongsikan di laman sesawang JKM,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru golongan OKU untuk berurusan dengan SSM bagi mengambil peluang mendaftarkan perniagaan di bawah skim ini.
Dalam masa sama, Alexander turut menyaksikan serahan zakat korporat SSM berjumlah RM3,000.00 kepada usahawan OKU tersebut yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi SSM, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.
Inisiatif ini juga dilaksanakan bersempena sambutan Hari Orang Kelainan Upaya Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa esok
Maklumat lanjut mengenai S1OKU1P boleh diperolehi melalui talian 03-7721 4000 (Pusat Panggilan SSM) atau emel [email protected]
-Malaysiapost

