UJIAN saringan Covid-19 ke atas pekerja asing bermula esok akan menumpukan kepada kilang di kawasan berisiko tinggi di beberapa negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Labuan, Pulau Pinang dan Sabah.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi syarikat dikenal pasti oleh Kementerian Sumber Manusia, majikan dikehendaki melaksanakan beberapa perkara termasuk menyediakan stesen kuarantin (QS) dan Pusat Kuarantin serta Rawatan Covid-19 (PKRC) bersesuaian bagi melancarkan proses ujian saringan itu.
“Syarikat juga perlu menanggung kos pengurusan QS dan PKRC, selain penginapan pekerja, makan, minum serta pengangkutan,” katanya, hari ini.
Ismail Sabri berkata, sekiranya disahkan positif Covid-19 dan tiada gejala, pekerja boleh ditempatkan di asrama disediakan majikan dengan pengasingan daripada mereka yang disahkan negatif.
“Jika keadaan asrama tidak bersesuaian, pekerja perlu ditempatkan di PKRC yang disediakan majikan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, pekerja positif ujian RTK Antigen dan mempunyai gelaja ringan perlu ditempatkan di PKRC disediakan majikan.
“Semua pesakit yang sudah discaj pula perlu dipakaikan gelang pengawasan berwarna, selain daripada warna gelang perintah pengawasan dan pemerhatian (HSO) untuk membezakan dengan pekerja yang sedang dalam kuarantin,” katanya.-Malaysiapost

