Bukan gila harta – Badul

0
3

PELAWAK veteran, AR Badul menafikan beliau gilakan harta kerana menuntut hak selepas kematian anaknya Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya setahun yang lalu.

Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 71, berkata buat masa ini beliau tidak kisah jika ada pihak mengambil kesempatan untuk mengecam dirinya memandangkan beliau hanya memikirkan cucu-cucunya.

“Kalau saya dapat apa-apa pun memang menjadi hasrat saya untuk kumpulkan semua dalam satu akaun dan akan diserahkan kepada cucu-cucu saya nanti. Bukan saya perlukan duit itu sangat cuma memikirkan keadaan mereka.

“Masalahnya sehingga kini saya tidak tahu apa yang berlaku, tiada pemberitahuan daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengenai hal ini, malah balu arwah juga langsung tidak menghubungi saya.

“Saya tahu akan ada pihak mempersoalkan tindakan ini. Tetapi saya tidak akan diamkan diri memandangkan bersuara demi hak saya,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Pernah menuntut inkues diadakan bagi mencari punca kematian anaknya, Badul berkata selepas memikirkan cucu-cucunya kemungkinan hilang hak, dia langsung menarik balik permintaanya itu.

“Kalau saya mahu duit sudah lama saya tuntut untuk teruskan inkues, tetapi memikirkan keadaan anak arwah saya tarik balik.

“Buat masa ini saya cuma mahu tahu ke mana duit-duit itu disalurkan, jangan hanya dikawal oleh sebelah pihak sahaja. Sebab itu saya mahu menuntut hak saya,” katanya.

Arwah Mohd Zahir, pegawai komando dari 11 Grup Gerak Khas (11 GGK) meninggal dunia selepas dipercayai tertembak ketika membuat aksi gimik dalam satu demonstrasi sempena penubuhan 5 Divisyen di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, 5 September tahun lalu.

Allahyarham yang bertugas di Kem Sungai Udang, Melaka dan berasal dari Kuala Lumpur adalah bapa kepada lima anak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here