Fitri Nizam
[PARLIMEN] AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim meminta pembangkang turut sama menyokong Belanjawan 2021 selepas terbukti mereka tidak mempunyai cukup sokongan.
Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) itu berkata, kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang mendakwa cukup bilangan untuk menjadi Perdana Menteri juga membuktikan sebaliknya.
“Saya ingin bagitahu pada Port Dickson, hari ini telah tercemar sikit kenyataan Yang Berhormat bahawa mempunyai bilangan yang cukup untuk jadi perdana menteri.
“Tadi (undi belah bahagi) telah membuktikan bahawa Yang Berhormat tidak cukup (sokongan).
“Jadi ini merupakan satu penyataan yang tidak betul kepada Yang di-Pertuan Agong dan juga kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan.
Justeru, Shahidan berkata, pembangkang harus perbetulkan semula kenyataan mereka dan sama-sama menyokong Belanjawan.
Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan RUU berkenaan peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Keputusan itu dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, selepas menerusi undian belah bahagi dengan 105 menyokong sementara 95 tidak menyokong dan 20 tidak hadir.
Undian belah bahagi dijalankan selepas lebih 15 Ahli Parlimen bangun menyokong supaya RUU itu diputuskan menerusi kaedah itu. – Malaysiapost

