LIONEL Messi memberi penghormatan kepada Diego Maradona dengan meniru gaya legenda Argentina itu selepas menjaringkan gol untuk Barcelona dalam aksi La Liga semalam.
Malah, pemain berusia 33 tahun itu hampir melakukan aksi ikonik ‘Hand of God’ seperti dilakukan Maradona ketika aksi Argentina menentang England pada Piala Dunia 1986.
Kapten Barcelona itu kemudian mempamer persembahan luar biasa pada hari pertama beraksi selepas Argentina berkabung meratapi pemergian ikon bola sepak mereka, Diego Maradona.
Messi menjaringkan gol keempat pasukannya pada minit ke-73 yang kemudian menyaksikan dia membuka jersi untuk mempamerkan jersi Newell’s Old Boys bernombor 10 yang pernah dipakai Maradona sebelum melayangkan ciuman ke langit tanda penghormatan kepada legenda berkenaan.
Newell’s Old Boys sebelum ini pernah memaklumkan Messi adalah pemain akademi akar umbi pasukan itu yang pernah tampil dalam aksi debut Maradona sebagai persembahan selingan khas.
“Pada hari debut Maradona bersama Newell’s, mereka membawa masuk budak lelaki enam tahun pada rehat separuh masa untuk melakukan trik bagi tontonan para penonton dan budak lelaki itu adalah Lionel Messi,” kata kelab berkenaan. – Malaysiapost

