RUU peringkat jawatankuasa JPM lulus

0
3

Fitri Nizam

[PARLIMEN] Dewan Rakyat sebentar tadi meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, menerusi undian belah bahagi dengan 105 menyokong, 95 tidak menyokong dan 20 tidak hadir.

Undian belah bahagi dijalankan selepas lebih 15 Ahli Parlimen bangun menyokong supaya RUU itu diputuskan menerusi kaedah itu.

Terdahulu, Azhar memutuskan sidang ditempohkan selama 10 minit lagi, tambahan selepas dua minit loceng dibunyikan bagi membolehkan undian dijalankan termasuk ruang masa diberi kepada Ahli Parlimen untuk berada di dalam dewan.

Terdahulu, Ahli Parlimen pembangkang meminta undi belah bahagi bagi meluluskan RUU Perbekalan 2021 untuk lima kementerian di bawah JPM.

Ia mendapat sokongan hampir semua Ahli Parlimen pembangkang iaitu melebihi daripada 15 sokongan yang diperlukan.

Sebelum itu, sesi penggulungan RUU bagi JPM dibuat oleh lima menteri dimulakan Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili; Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof; Datuk Seri Mustapa Mohamad; Datuk Takiyuddin Hasan serta Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

JPM diperuntukan RM11.69 bilion dalam Belanjawan 2021 iaitu RM4.47 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM7.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Selepas JPM, RUU peringkat sama bagi Kementerian Kewangan akan dibahaskan dan diputuskan petang ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here