Pemilik restoran nasi kandar Napoh diarah fail pembelaan

0
3

MAHKAMAH Tinggi Alor Setar menetapkan 21 Disember depan, untuk pemilik restoran nasi kandar di pekan Napoh yang mencetuskan Kluster Sivagangga memfailkan pembelaan terhadap saman difailkan Persatuan Pengguna Kedah (Cake).

Peguam yang mewakili Cake, Mohammad Zunun Baihakky, berkata pihaknya menerima surat daripada peguam yang mewakili Nezar Mohamed Shahbur Batcha, 57, pada 26 Oktober lalu bagi memohon tarikh memfailkan pembelaan.

Katanya, Nezar difahamkan sudah dibebaskan dari penjara pada Selasa lalu. (24 November 2020).

“Saya menerima surat daripada peguam Nezar untuk memohon tarikh memfailkan pembelaan terhadapnya, jadi mahkamah hari ini menetapkan 21 Disember depan untuk dia berbuat demikian.

“Sekiranya pada tarikh itu tiada apa-apa pembelaan yang difailkan, maka kita akan memohon daripada mahkamah untuk memfailkan penghakiman ingkar terhadap Nezar,” katanya seperti dilapor BH.

Nezar, sebelum ini didenda RM12,000 dan lima bulan penjara kerana melanggar perintah kuarantin di rumah pada 13 Ogos lalu.

Pada 19 Ogos, Persatuan Pengguna Kedah mengemukakan tuntutan saman lebih RM1 juta terhadap Nezar mewakili kira-kira 200 penduduk yang terdiri daripada pemilik perniagaan, pekerja dan penerima upah dari mukim Napoh dan Megat Dewa akibat terjejas dengan perintah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim berkenaan.

Ia susulan pelanggaran Nezar terhadap perintah kuarantin selepas pulang dari India hingga mengakibatkan empat mukim di Kubang Pasu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) selain restoran berkenaan diarah ditutup. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here