Zoo Negara mohon kerajaan bantu kurangkan kadar bayaran elektrik

0
2

ZOO Negara memohon kerajaan membantu menguruskan kos mengendalikan panda dengan memberi kadar lebih rendah terhadap bayaran elektrik yang mencecah puluhan ribu ringgit setiap bulan khusus dalam penjagaan haiwan itu.

Timbalan Presidennya, Rosly Ahmat Lana, berkata pihaknya terpaksa menanggung bayaran sekitar RM10,000 hingga RM20,000 sebulan untuk elektrik berikutan panda memerlukan kemudahan penghawa dingin setiap masa.

“Kita tiada masalah menjaga panda pada asasnya cuma penggunaan penghawa dingin setiap masa menyebabkan bil elektrik mencecah ribuan ringgit sebulan.

“Jika kerajaan boleh bantu, kita minta kadar lebih murah dengan pengiraan dibuat berdasarkan kiraan domestik dan bukannya komersial. Komersial ini dua kali ganda kadar bayarannya,” katanya seperti dilapor BH.

Sebelum ini, Zoo Negara dilaporkan berdepan krisis kewangan yang teruk susulan gelombang ketiga Covid-19 di negara ini sehingga menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Rentetan itu, tabung kecemasan Zoo Negara dilaporkan hanya mampu bertahan kira-kira tiga bulan sahaja lagi.

Pada masa sama, Rosly berkata, selain kos elektrik yang tinggi, pihak Zoo Negara juga turut membelanjakan ribuan ringgit bagi bagi menyediakan makanan panda iaitu buluh yang terpilih sahaja.

Namun beliau berkata, pihaknya tidak berdepan masalah untuk mendapatkan bekalan buluh daripada kebun bagi keperluan panda berkenaan.

Katanya, sebagai penjaga (caretaker) panda, pihak Zoo Negara bertanggungjawab menanggung semua kos penjagaan haiwan itu di kemudahan terbabit.

“Walaupun berdepan kos tinggi elektrik, namun keadaan masih terkawal lagi untuk kita meneruskan penjagaan terhadap panda ini,” katanya.

Sehingga kini, Zoo Negara menjaga tiga ekor panda termasuk seekor anak haiwan itu yang diperoleh dari China sejak 2014. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here