LIMA lelaki termasuk empat warga Myanmar ditahan selepas cuba menyogok anggota di sekatan jalan raya (SJR) Simpang Tiga Alor Hijau, Selising, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
Mereka yang berusia antara 30 hingga 39 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis selepas melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka di SJR itu kira-kira jam 6.35 petang.
Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, hasil pemeriksaan di dalam kereta itu, pihak polis merampas wang tunai berjumlah RM1,000 daripada salah seorang lelaki terbabit.
Menurut Shafien, empat rakyat Myanmar itu juga gagal mengemukakan sebarang dokumen yang sah ketika anggota melakukan pemeriksaan.
“Pada masa sama, salah seorang lelaki Myanmar cuba menyogok anggota polis bagi mengelak daripada menahan mereka.
“Menyedari perbuatan lelaki itu, anggota terbabit memaklumkan kepada lelaki itu, perbuatannya salah disisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, seperti dilaporkan Kosmo Online hari ini.
Tambahnya, siasatan pihak polis mendapati kereta yang dipandu lelaki tempatan itu sedang dalam perjalanan dari Selising ke Kok Lanas sebelum sampai di SJR berkenaan.
Berliau berkata, hasil ujian air kencing terhadap seorang lelaki tempatan itu mendapati lelaki tempatan berkenaan positif dadah jenis Methampetamin.
Sementara itu, empat lelaki Myanmar tersebut ditahan reman dibawah Akta Imigresen selama 14 hari sehingga 5 Disember depan.
“Keempat-empat warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen dan Seksyen 19(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” ujarnya. -Malaysiapost

