LIMA pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pasir Mas – Rantau Panjang dinaiki air selepas paras Sungai Golok melepasi paras amaran, hari ini.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 8, Superitendan Muhammad Shamsuddin berkata, pos kawalan yang terlibat ialah Pos Sharifah Rantau Panjang, Pos Salleh, Pos Mek Gombak, Pos Pulau dan Pos Wakaf Zin di Jeram Perdah.
Katanya, PGA telah memantau kawasan itu bagi menjamin keselamatan petugas dan aset kerajaan ekoran paras air Sungai Golok menunjukkan peningkatan secara mendadak.
“Kita menjalankan rondaan ke lokasi pos-pos yang dinaiki air dalam usaha untuk memastikan pemantauan yang berterusan situasi banjir semasa,” katanya seperti dilaporkan Kosmo Online, hari ini.
Tambahnya lagi, hasil pemantauan mendapati dapati Jalan Kasban dan Laluan Jalan Bukit Lata ke Jejawi di kawasan tersebut juga sudah dinaiki air. -Malaysiapost

