Pembangkang dah pun iktiraf kerajaan PN, kecuali 13 yang berdiri – Tun M

0
2

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata apabila Belanjawan 2021 diluluskan tanpa tentangan di peringkat bacaan kali kedua di Dewan Rakyat semalam, ia bermakna kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah pun diiktiraf oleh pembangkang, kecuali 13 Ahli Parlimen yang berdiri menentang.

Bekas Perdana Menteri itu berkata menentang di peringkat jawatankuasa, seperti dikatakan beberapa pemimpin pembangkang, tidak akan bawa apa-apa kesan signifikan ke atas kerajaan mahupun Belanjawan yang telah dikemukakan.

Katanya, Ia hanya usaha untuk mengalih pandangan dan kritikan rakyat yang kecewa dengan sikap pembangkang.

“Kerajaan pintu belakang pimpinan Tan Sri Muhyiddin bukan dipilih rakyat. Manipulasi dilakukan untuk merampas kuasa daripada kerajaan pilihan rakyat.

“Tidak cukup di peringkat Pusat, kerajaan Sabah yang jelas dipilih rakyat juga dirampas dengan memaksa pilihan raya negeri diadakan.

“Untuk kekal berkuasa, kerajaan ini terpaksa sogok Ahli Parlimen untuk dapat sokongan,” katanya menerusi catatan di laman blognya chedet.cc hari ini.

Dr Mahathir berkata, pada perbahasan Belanjawan 2021 semalam, bukan sahaja parti kerajaan yang menyokong, malah sebahagian besar Ahli Parlimen pembangkang turut berbuat demikian.

“Ini aneh. Selama kerajaan Tan Sri Muhyiddin tertubuh, pihak pembangkang berusaha untuk menjatuhkannya dengan undi tak percaya di Parlimen.

“Tidak kurang 25 usul undi tidak percaya dikemuka. Apabila belanjawan dibentang, pembangkang bersuara kononnya akan menolak. Ada pemimpin yang datang berjumpa saya sehari sebelum untuk nyatakan tentangan mereka.

“Tetapi ini tidak berlaku. Bila diminta adakan undi belah bahagi, hanya 13 yang berdiri, dua kurang daripada jumlah diperlukan. Maka belanjawan dilulus dengan lebihan suara,” katanya.

Beliau berkata, dengan itu pelbagai pihak cenderung untuk percaya yang pelbagai gula-gula ditawar untuk dapat sokongan.

Jika benar, katanya, bermakna rasuah sudah sampai tahap yang amat merbahaya kepada negara kerana segala-gala boleh dibeli dengan duit, termasuk kerajaan.

“Kerajaan pilihan rakyat boleh dibeli dan dijatuh kerana wakil yang dipilih oleh rakyat sanggup terima sogokan seperti yang kita lihat berlaku di Sabah. Kerajaan yang tidak dipilih rakyat boleh rampas kuasa dan terus memerintah negeri dan negara.

“Pembangkang sanggup berkrompomi dan tolak prinsip dan gadai sokongan rakyat untuk kepentingan sendiri.

“Saya dan kumpulan Pejuang akan terus tolak Belanjawan ini. Kami tidak nampak apa-apa manfaat jangka panjang kepada negara dalam usaha tangani masalah ekonomi yang merudum akibat Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here