ATM tahan 25 PATI Indonesia cuba menyusup keluar

0
4

ANGKATAN Tentera Malaysia menahan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia yang dipercayai mahu keluar dari negara ini secara haram melalui Johor, awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) menerusi kenyataan berkata kesemua PATI dikesan cuba berbuat demikian di sektor Operasi Bentang kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) pada jam 2 pagi tadi.

Menurut kenyataan itu, atas maklumat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang melaksanakan pengawasan, pada jam 12.15 tengah malam, anggota Pos Pemerhati mengesan pergerakan masuk bot yang mencurigakan menghala pesisir pantai Teluk Ramunia, Bandar Penawar.

Susulan itu, katanya, kumpulan Quick Reaction Force (QRF) menyerbu kawasan itu dan menahan 25 PATI warga Indonesia yang dipercayai menunggu untuk keluar dari negara ini menggunakan laluan tidak sah.

“Kesemua PATI yang ditahan terdiri 24 lelaki dan seorang wanita berusia 21 hingga 43 tahun,” kata kenyataan itu.

Kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Menurut 3 Divisyen, Tim QRF meneruskan usaha bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here