PARAS air Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas mencatatkan bacaan melebihi paras waspada setakat jam 9 pagi ini.
Menurut laporan infobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok menunjukkan bacaan 7.78 meter (m) melepasi paras waspada iaitu 7 m dengan trend menaik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Imran Ismail berkata peningkatan paras air sungai di Sungai Golok ketika ini, berikutan sesekali hujan lebat di kawasan terbabit sejak semalam.
“Setakat ini, berdasarkan pemantauan pihak kami kemungkinan untuk berlaku banjir adalah rendah memandangkan hanya sesekali hujan lebat ketika ini.
“Namun, kita tidak menolak kemungkinan banjir jika hujan berterusan dalam tempoh tujuh hingga lapan jam di Rantau Panjang dan di hulu Sungai Golok.
“Justeru, kita menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan paras air sungai berdekatan mereka dan mengambil langkah awal seperti mengemas dokumen penting jika perlu berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Imran berkata, tinjauan pihaknya semalam juga menunjukkan aliran air sungai adalah deras berikutan peningkatan paras air, selain penduduk kampung dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti di sungai untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku.
“Pihak kami sudah bersedia daripada segi fizikal dan mental dalam menghadapi musim tengkujuh ini, dan jika banjir kita akan tukarkan tempoh bekerja daripada 12 jam kepada 24 jam serta-merta dengan pembabitan 13 anggota berbanding tempoh biasa hanya lapan anggota.
“Daripada kesediaan aset ketika ini, sebanyak tiga bot aluminium sentiasa dipastikan berada dalam keadaan baik dan akan diperiksa secara purata dalam tempoh dua hari,” katanya.
Cuaca di seluruh Kelantan pada pagi ini adalah mendung dengan sesekali hujan renyai di beberapa kawasan. -Malaysiapost

