TUN Dr Mahathir Mohamad bagaikan berasa hairan apabila Ahli Parlimen pembangkang menyokong Belanjawan 2021.
“Kerajaan yang didiri melalui rasuah dan sogokan pada Ahli Parlimen, dan kerajaan yang korup boleh pula disokong oleh Ahli Parlimen pembangkang tanpa sedikit rasa bersalah kerana mungkir janji kepada rakyat.
“Inilah apa yang telah berlaku di Dewan Rakyat hari ini,” kata bekas Perdana Menteri itu menerusi catatan di laman blognya chedet.cc lewat petang ini.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata beliau dan semua ahli Parti Pejuang, serta beberapa Ahli Parlimen lain, tetap berpegang kepada janji untuk menolak belanjawan kali ini.
“Apabila kami mengambil pendirian, kami tidak berganjak atas dasar amanah dan tanggungjawab sebagai wakil kepada rakyat.
“Kami tetap dengan pendirian menentang apa sahaja bentuk rasuah dan berharap yang rakyat juga akan sedar dan menolak rasuah.
“Hanya dengan penolakan rasuah sahaja yang kehancuran negara dapat dielak,” katanya.
Dr Mahathir menambah, perasuah, penjenayah dan segala bentuk penyamun boleh membentuk kerajaan hanya dengan mengguna wang untuk membeli undi dan wakil pilihan rakyat.
Katanya lagi, apabila mereka yang tidak berprinsip, tidak berkualiti serta yang sanggup menggadai amanah rakyat demi kepentingan peribadi mendirikan kerajaan, maka negara akan dijual untuk memenuhi ketamakan diri mereka.
“Saya, Ahli Parlimen Langkawi, dan tiga lagi Ahli Parlimen Pejuang, Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shaharuddin Md Salleh (Sri Gading) tetap tidak berganjak dengan pendirian kami menolak Belanjawan 2021,” katanya.
Terdahulu, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang kemudian disokong semua Ahli Parlimen kerajaan.
Ketika proses pengundian, terdapat wakil rakyat pembangkang meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun membuat undi berbelah bahagi.
Bagaimanapun, hanya 13 Ahli Parlimen bangun untuk menyokong, antaranya beberapa dari Parti Amanah berbanding 15 yang diperlukan untuk membolehkan undi belah bahagi dilaksanakan. – Malaysiapost

